Afiq & Eina


MEREKA masih baru tetapi masing-masing sudah memancarkan aura segar. Kedua-dua mereka nyata pandai bergaya dan kini sedang membina tapak dalam bidang seni.

Itulah pasangan Eina Azman dan Afiq Azman yang menjadi buruan pengarah dan produser tempatan. Secara tiba-tiba, pemilik nama Ainur Syakina Azman atau Eina 16, yang mula dikenali menerusi drama 5 Jingga, mencuri perhatian ramai gara-gara kontroversi membabitkan dia dan filem Ratu.


Namun Eina enggan bercakap panjang, mengeluh atau merungut mengenai perkara itu lagi kerana enggan mengeruhkan keadaan.Eina akui lebih teruja untuk membuka lembaran baru dan berjaya sebagai bintang pelapis. Ternyata anak buah penyanyi Juliza Adzlizan ini ada pakej menarik. Bagi yang belum tahu, Eina adalah anak Amy Roshaida iaitu adik kepada Juliza.“Saya tak mahu fikir apa-apa pasal filem itu lagi. Ada baik-nya saya pandang ke depan. Memang Ratu filem pertama saya tapi apabila produsernya sendiri mengharamkan saya daripada hadir ke majlis previu filem itu baru-baru ini, saya terima dengan hati terbuka. Bukannya saya tak faham bahasa.

Buat masa ini saya hanya bersikap tunggu dan lihat. Sekarang saya nak tutup cerita lama dan buka buku baru. Saya juga mendoakan kontroversi ini berakhir dengan cepat,” jelasnya yang enggan disalah tafsir.

Meskipun emosinya seketika terganggu, Eina tidak pernah serik dan berkata kontroversi yang berlaku langsung tidak pernah mematahkan sema-ngatnya untuk menjadi anak seni. Malah pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Subang Jaya ini menganggap apa yang terjadi adalah satu pengalaman berharga dalam hidupnya.

“Saya tak kisah orang nak cakap kerana saya tidak pandai reka cerita. Memang banyak yang perlu saya belajar apabila masuk ke bidang seni. Pada saya rezeki datangnya dari Allah S.W.T dan bukan berada dalam tangan manusia. Saya bersyukur kerana tawaran berlakon tetap ada.

“Syukurlah saya sudah berlakon filem kedua, Ada Sesuatu Yang Tertinggal, berkonsep seram. Saya juga berlakon dalam siri drama Mistik Alam Hitam arahan Rashid Sibir untuk episod Panggilan Maut. Saya bawa watak hantu yang namanya Manja. Dia suka buat panggilan kepada Fuad (Afiq) selepas jam 12 tengah malam.

“Seronok bekerja bawah Abang Rashid. Gandingan saya dengan Afiq pun serasi kerana dia pun masih muda dan gila-gila. Kalau ada rezeki, saya nak berlakon lagi dengan Afiq,” katanya.

Menjawab pandangan sinis masyarakat mengenai pembabitannya pada usia muda, Eina berkata dia sekadar memenuhi minatnya, bukan kerana mengejar duit.

“Saya pergi uji bakat untuk 5 Jingga ketika berumur 13 tahun dan diterima berlakon oleh produsernya, Low Ngai Yuen. Tak dinafikan minat dalam seni timbul kerana keluarga saya berdarah seni. Mulanya saya nak jadi penyanyi, tapi entah bagaimana boleh terjebak pula ke lakonan.

“Minat untuk menyanyi tetap ada. Saya nak mantapkan vokal dan selepas tamat SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia) baru bercadang hasilkan album. Ramai yang anggap saya seronok berlakon hingga abaikan pelajaran. Sebenarnya saya hanya berlakon semasa hujung minggu atau selepas habis waktu sekolah saja.

“Sebenarnya mula-mula dulu, ayah kurang sokong minat saya kerana mahu saya tumpukan perhatian kepada pelajaran. Namun kerana minat saya yang mendalam, dia akhirnya bersetuju dengan syarat tahun depan saya kena tumpukan perhatian betul-betul belajar. Emak juga tak biarkan saya berseorangan ketika ‘shooting’. Kalau dia tak dapat ikut, saya pasti akan ditemani kakak (Nur Wenny Azman, 18),” katanya.

Afiq, 19, pula yang ada ikatan persaudaraan dengan pelakon kacak, Edika Yusof, sudah tiga tahun bertapak dalam lakonan. Bermula dengan watak pelakon tanpa dialog dan watak tambahan untuk Hotel Mania, Afiq kini mampu tersenyum kerana mula diberi kepercayaan berlakon watak besar oleh Rashid Sibir.

“Sebelum ini saya banyak buat model untuk majalah antaranya In-Trend, Remaja dan Maskulin. Saya juga jadi model untuk sebuah bank tempatan dan model video klip Najwa arahan Ghaz Abu Bakar. Namun saya tak putus asa cari peluang berlakon dan akhirnya ia tiba apabila Abang Rashid menawarkan saya berlakon telemovie Mak Pengantin Tak Popular bergandingan dengan Nora Danish sebagai pasangan kekasih.

“Dari situ dia bagi kepercayaan lagi buat saya berlakon siri drama Mistik Alam Hitam untuk episod Darah Pontianak, Sabit Puaka dan Panggilan Maut bersama Eina. Mungkin sebab saya buat yang terbaik, jadi dia terus beri peluang. Tak dinafikan mulanya lakonan saya agak kaku tapi Abang Rashid banyak bagi tunjuk ajar dan mencabar supaya buat yang terbaik. Saya sahut cabarannya itu,” katanya.

“Buat masa ini saya hanya ambil sijil terlebih dulu. Saya pilih Aswara kerana mendapati tenaga pengajarnya hebat-hebat belaka. Malah banyak juga pelakon hebat asalnya dari sini. Saya nak jadi pelakon berilmu dalam bidangnya dan bercadang akan sambung lagi belajar hingga peringkat tertinggi. Bukan setakat berlakon, saya juga nak belajar segala perkara berkaitan kerja belakang tabir produksi.

“Awalnya ayah memang tak galakkan saya jadi pelakon. Biasalah setiap ibu bapa mesti mahu yang terbaik dalam hidup anak-anak mereka. Jadi, saya akan buktikan yang pilihan saya ini bukan sebab nak cari glamour. Mungkin pada masa depan saya akan buat bisnes kerana lebih selesa bekerja sendiri dari makan gaji,” jelasnya.

Mengulas mengenai apa yang berlaku terhadap Eina, Afiq berkata dia bersimpati. Sebagai kawan, dia hanya mampu menasihatkan Eina supaya bersabar.

“Saya anggap Eina sebagai adik. Jadi, boleh dikatakan saya ialah tempatnya mengadu. Untuk itu saya berikan dia nasihat supaya tabah menghadapi apa yang berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment