Memang tidak dinafikan, 25 buah filem yang layak bertanding dalam ASK2010 semuanya memiliki kehebatan yang tersendiri dalam memikat hati juri.
Malah, ada juga sebahagian daripada filem-filem itu pernah diiktiraf di Festival Filem Malaysia (FFM) dan adakah karya mereka itu akan dijulang sekali lagi di pentas yang berbeza pula?
Itulah persoalan yang bermain di minda ramai pihak ketika ini. Lebih-lebih lagi, ada juga beberapa nama ‘panas’ yang dilihat berpotensi untuk dicalonkan.
Adakah kontroversi akan tercatat dalam ASK2010? Atau mungkin akan ada kejutan yang pasti membuatkan ramai pihak akan melopong mulut kelak?
Semuanya terletak kepada kebijaksanaan panel juri bertauliah yang dilantik untuk memilih pemenang berdasarkan kecemerlangan persembahan para pelakon dalam setiap filem yang dipertandingkan. Kategori Pelakon Lelaki Filem Terbaik untuk tahun ini memang tidak dapat disangkal lagi akan memberikan saingan yang cukup hebat.
Dua aktor handalan negara, Afdlin Shauki dan Bront Palarae dilihat sebagai calon utama yang akan memeningkan kepala juri untuk memilih salah satunya sebagai pemenang.
Seperti yang diketahui, Afdlin dan Bront masing-masing merupakan pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM22 dan FFM23.
Kerana itu, ramai yang mahu melihat sama ada kedua-dua mereka mampu mencipta kejayaan berganda daripada filem lakonan mereka iaitu Papadom dan Belukar.
Dalam sejarah ASK, Afdlin bukanlah nama baru kerana sebelum ini dia pernah memenangi Pelakon Lelaki Filem Terbaik menerusi filem Buli pada tahun 2005. Siapa tahu, selepas lima tahun, Afdlin akan kembali merangkul gelaran itu sementelah lakonannya dalam Papadom cukup cemerlang.
Penghayatan dan emosi Afdlin sebagai Saadom, seorang bapa yang mengawal ketat pergerakan anaknya telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton. Kalau Afdlin tewas di tangan Bront sekali pun, itu bukan satu masalah kerana Afdlin sudah membuktikan dia bukan calang-calang pelakon.
Kebarangkalian Bront untuk mengulangi kejayaannya di FFM23 memang besar. Seandainya trofi idaman ramai itu menjadi miliknya malam esok, tidaklah perlu dipertikaikan kerana dia memang layak memenanginya.
Begitu juga dengan Farid yang membawakan watak Kasyah dalam filem Lagenda Budak Setan yang banyak bermain dengan emosi serta mainan dalaman. Biarpun filem Muallaf adalah filem pertamanya, lakonan bersahaja Brian tetap dipuji. Bakat yang digilap oleh mentornya, Allahyarham Yasmin Ahmad telah membuka mata ramai pihak akan kebolehan lakonannya.
Seorang lagi aktor, Esma Danial juga tidak wajar dipandang enteng. Siapa tahu lakonannya dalam filem Santau akan memberikannya tuah selepas lebih dua dekad bergelar seorang pelakon.
Jika Pelakon Lelaki Filem Terbaik dilihat mampu mencabar kredibiliti juri dalam memilih pemenang yang selayaknya, kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik juga tidak kurang hebatnya.
Apatah lagi, yang berpotensi semuanya nama-nama besar dan pernah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM.
Mereka yang dimaksudkan ialah Sharifah Amani, Liyana Jasmay, Maya Karin dan yang terbaru, Lisa Surihani. Daripada empat nama ini, hanya Liyana sahaja yang pernah merasai nikmat kemenangan di ASK tahun lalu apabila dia memenanginya menerusi filem Kami The Movie.
Sharifah Amani yang langsung tidak dipandang oleh panel juri FFM23 mempunyai peluang cerah untuk diangkat sebagai pemenang berdasarkan lakonannya dalam filem Muallaf.
Tidak akan adalah lagi kata-kata nakal yang mengatakan kemenangan Lisa hanya berlandaskan paras rupa semata-mata kerana Lisa sudah membuktikan dia memang layak untuk menerimanya.
Dua calon lagi iaitu Maya Karin dan Fazura juga mempunyai peluang yang sama rata untuk memenangi Pelakon Wanita Filem Terbaik. Mungkin ramai yang akan bertanya siapakah sebenarnya watak utama dalam Pisau Cukur. Tetapi kata pengarahnya, Bernard Chauly, kedua-duanya adalah setara.
Jadi, apakah ASK2010 bakal menyaksikan dua pelakonnya dicalonkan dalam kategori yang sama? Semuanya tidak mustahil kalau difikirkan. Malah, bukan satu kesalahan pun jika Maya dan Fazura disenaraikan. Tidak salah membuat perubahan kerana di Hollywood ia adalah norma dalam acara anugerah mereka.
Selebriti terkenal, Daphne Iking juga boleh mencipta kejutan dalam ASK2010. Bukanlah perkara yang mengejutkan seandainya dia dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Filem Terbaik.
Masih ingat bagaimana Baizura Kahar memenangi kategori ini menerusi filem Sepi dua tahun lalu? Siapa tahu, gelaran Pelakon Harapan Wanita yang dimenanginya pada FFM23 mampu membawa Daphne setapak langkah lagi dalam bidang lakonan.
Harus diakui, filem Belukar berjaya menonjolkan bakat Daphne sebagai seorang aktres dan dia memang berpotensi untuk pergi jauh dalam industri.
No comments:
Post a Comment