Impian Fasha Sandha

KISAH cintanya yang penuh kontroversi, sudah menjadi sejarah. Secara peribadi, pelakon Fasha Sandha juga berharap kisah cinta yang tidak kesampaian dengan Rizal Ashram atau Jejai itu tidak perlu dibangkitkan lagi.Semuanya kerana dia menemui cinta baru iaitu Chinta Hair Salon & Beauty yang ditubuhkan dengan hasil titik peluhnya dalam bidang seni. Bagi Fasha, kisah cintanya dengan Jejai sudah basi dan ia sudah berlalu.

Dia enggan enggan mengulas lagi apabila ditanya apakah mereka masih berkawan selepas putus atau tidak. "Semua itu tidak perlu saya ulas kerana ia sudah berlalu. Apapun, saya masih belum bertemu pengganti Jejai kerana buat masa ini fokus saya pada salun dan pusat kecantikan milik saya dan keluarga ini saja," katanya. Namun, ada pula suara sumbang yang memandang sinis padanya dengan mendakwa pelakon jelita ini membuka salun hasil tajaan seseorang ataupun mungkin itu hadiah daripada kekasihnya sebelum mereka berpisah.

Pemilik nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan ini tidak cepat melatah dengan sindiran orang sebaliknya dengan tegas memberitahu salun dan pusat kecantikan itu dibuka dengan hasil bayaran drama bersiri Chinta yang mendapat sambutan hangat di TV3, sebelum ini.Bagaimanapun, apabila ditanya jumlah kos salunnya itu, Fasha mengatakan tidak dapat memberitahu kos sebenar kerana ia tidak perlu diuar-uarkan kepada peminat.

"Terus terang, saya tidak ditaja Jejai atau orang lain untuk membuka salun ini. Sebaliknya, saya ingin orang menilai sendiri sama ada saya mampu atau tidak membuka salun selepas tujuh tahun berkecimpung dalam bidang seni dan 10 tahun bergelar model iklan.

"Sejujurnya, sudah lama saya mengimpikan untuk membuka perniagaan sendiri iaitu sejak empat tahun lalu. Keinginan mempunyai salun peribadi tercetus ketika terpilih menjadi bintang iklan Pantene dulu. Ketika itu, saya masih terlalu muda dan belum mempunyai modal yang cukup dan belum beri komitmen pada karier lain.

"Hari ini adalah detik yang paling bahagia buat saya kerana berkat sokongan keluarga, teman rapat dan sokongan wartawan serta peminat kerana baru sekarang impian saya untuk buka salun ini direalisasikan," katanya.Kata Fasha, dia ada beberapa sebab tersendiri kenapa memilih nama Chinta untuk salunnya itu.

Baginya, nama Chinta terlalu unik dan disayangi ramai sama seperti nama karakternya dalam slot Akasia TV3, Chinta yang disiarkan hujung tahun lalu. "Watak Chinta bermula sebagai gadis baik dan selepas itu dia berubah menjadi jahat, kemudian menjadi baik semula. Nama saya juga kembali di hati peminat kerana kejayaan Chinta selepas berehat seketika daripada aktiviti lakonan selama setahun.

Mengenai perkembangan karier seni, Fasha berkata, dia baru selesai penggambaran Samson Delaila yang kini disiarkan di TV3 menerusi slot Samarinda setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam. Lakonannya dalam Dia Atilia bergandingan dengan Zamarul Hisyam pula kini disiarkan di saluran Astro.

Terbaru, Fasha juga menjayakan penggambaran drama 5 Tahun 5 Minit bergandingan dengan Aqasha untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM). "Saya bersyukur kerana tawaran berlakon juga tidak pernah putus tahun ini. Sekalipun sering dilanda kontroversi, produser dan pengarah masih memberi kepercayaan pada saya untuk berlakon dalam produksi mereka."Saya juga ingin berlakon dengan semua stesen TV dan tidak terikat dengan satu stesen saja seperti mula-mula terbabit dalam lakonan dulu," katanya.

Kesibukan berlakon ternyata tidak menghalang Fasha menceburi bisnes salun kerana ibunya yang akan mengawasi perjalanan pusat kecantikannya itu."Jika tidak terbabit dengan penggambaran drama, saya akan berada di salun ini untuk membantu pekerja apa yang patut. Saya juga menggunakan khidmat tiga pendandan rambut dan pakar kecantikan kulit dan jurusolek artis terkenal, Deq Sha di salun ini.

Kami juga akan cuba memberikan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada pelanggan yang berkunjung ke salun ini," katanya. Kata Fasha, buat masa ini dia mahu fokus pada salunnya itu terlebih dulu sebelum memikirkan perancangan untuk mengembangkan bisnesnya dengan membuka cawangan lain.

"Saya memang tidak suka menguar-uarkan perkara yang belum pasti lagi. Seperti perancangan membuka salun ini sudah lama dan baru sekarang saya memberitahu kepada peminat dan pihak media iaitu pada hari pelancaran ini," katanya.

Chinta Hair Salon & Beauty yang beroperasi di Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Link dari jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, menawarkan harga promosi dan pengenalan untuk bulan pertama dengan harga serendah RM15 untuk pelanggan yang berambut pendek.

Perkhidmatan disediakan di salun ini ialah semua jenis dandanan rambut seperti rebonding, warna, rawatan rambut, rawatan muka, bengkel kecantikan bersama jurusolek artis Deq Sha (tiga kali sebulan) dan pusat solekan ke majlis dengan menggunakan khidmat jurusolek berpengalaman.

No comments:

Post a Comment